Catatan Peribadi HSC Executive Tour (Ogos 2022) oleh Ekmil Krisnawati
Thailand, aku datang! Sejak negara Malaysia menamatkan Perintah kawalan Pergerakan (PKP), inilah pertama kali aku menaiki pesawat ke luar negara, jadi pelbagai perasaan ada teruja, berdebar serta risau kerana kembara kali ini tanpa keluarga dan sahabat handai. Tujuanku ke Thailand adalah menyertai kembara ilmu bersama Malaysia Hemptech Industrial Research Association (MHIRA) yang mengadakan lawatan ke ladang kanabis jenis Hemp di Chiang Rai. Selain mengubat hati yang lara kerana terdapat sedikit ujian dalam pengajianku ini. Program ini sangat signifikan untuk pengajianku kerana salah satu bab dalam tesis aku perlu menulis berkaitan undang-undang di Thailand dan legalisasi kanabis di sana. Menaiki pesawat dari Kuala Lumpur jam 9 pagi dan sampai di lapangan terbang Bangkok Don Mueang dua jam kemudian. Aku bertemu dengan Puan Laila dan Dr. Rushdan di lapangan terbang dan kami ke hotel dengan menaiki Grab. Encik Qaiyum dan Encik Irwan yang merupakan wakil MHIRA menyambut kedatangan kami di hotel dan memperkenalkan kami kepada peserta program yang lain. Untuk hari pertama, acara adalah santai dan semasa makan malam, Presiden dan pengasas MHIRA En. Johan memberi taklimat berkaitan program sepanjang 4 hari di sana.
Hari kedua merupakan hari yang paling kutunggu kerana kami akan melawat ladang kanabis jenis hemp di Chiang Rai dan melihat cara pengeringan bunga kanabis tersebut. Seumur hidupku tidah pernah melihat pokok kanabis, sudah pastilah berasa teruja untuk melihat sendiri tumbuhan yang boleh membawa hukuman mati kepada tertuduh jika di dapati memiliki lebih dari 200 gram kanabis di Malaysia. Semasa sarapan pagi ku disapa oleh Tuan Haji Shukor dan isterinya yang berasal dari Sabah. Ku sangat bersyukur kerana Tuan Haji Shukor sudi membantuku dan tidak pernah kusangka di bumi Thailand Allah menunjukkan jalan cara mengatasi sedikit ujian dalam pengajianku ini. Kami semua menaiki bas untuk ke airport dan Encik Pornprasith Sibunruang yang merupakan Pengasas dan CEO Cannatek 88 Co. Ltd. memberikan taklimat kepada kami. Bayangkan seorang CEO turun memberi penerangan dan menemani kami sepanjang tiga hari lawatan. Betapa beruntungnya dan terujanya kami kerana dapat mendengar dari beliau sendiri pengalaman syarikat beliau mengusahakan tanaman kanabis jenis hemp bermula dari pemilihan benih sehinggalah ke penghasilan minyak (kanabidiol) CBD yang sangat baik untuk kesihatan dan produk lain berasaskan kanabis hemp seperti kosmetik. Beliau juga merupakan penasihat kepada Timbalan Menteri Pertanian di Thailand. Perjalanan ke Chiang Rai mengambil masa selama 1 jam 20 minit dengan menaiki pesawat dari Bangkok. Jika menaiki kereta mengambil masa kira-kira 11 jam perjalanan dari Bangkok.
Apabila sampai di ladang hemp tersebut, kami diberi penerangan berkaitan penanaman kanabis hemp bermula dengan pemilihan biji benih jenis ‘auto-flower’ yang diimport dari luar negara. Mereka mengimport biji benih tersebut bagi menghasilkan bunga kanabis yang bermutu tinggi dan menepati undang-undang Thailand iaitu mengandungi tidak lebih dari 0.3% (tetrahidrokanabinol) atau THC. THC merupakan bahan kimia dalam kanabis yang boleh membawa kesan psikoaktif, khayal dan ketagihan. Manakala CBD tiada kesan psikoaktif, tiada toksin, tidak mempunyai potensi penyalahgunaan atau menyebabkan kemudaratan, dan telah disahkan selamat digunakan oleh World Health Organisation (WHO) pada tahun 2017. Pokok kanabis tersebut sebahagian besar di tanam di dalam ‘greenhouse’ dan hanya sebahagiaan kecil sahaja ditanam di bahagian luar. Terpancar ceria di wajah peserta kerana dapat mengenali pokok kanabis dengan lebih dekat. Jika di Malaysia pastinya telah ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana memiliki kanabis.
Kemudian kami dibawa melihat pusat pengeringan bunga kanabis. Bunga kanabis tersebut dikeringkan di pusat pengeringan sebelum dibawa ke kilang pengekstrakan bunga mentah untuk dijadikan minyak CBD untuk rawatan. Pelbagai ilmu dikongsi oleh CEO Cannatek 88 yang sangat berguna terutama bagi mereka yang ingin menceburi industri hemp ini apabila Malaysia membenarkannya satu hari nanti. Jam 8 malam kami kembali semula ke Bangkok dengan menaiki pesawat dan sampai di Ambassador hotel kira-kira jam 11 malam. Walaupun kami melihat di kaki lima Thailand terdapat penjualan CBD dan THC, namun kami dinasihatkan agar tidak membeli produk tersebut kerana tidak dapat dipastikan ketulenan produk tersebut. Bagi penyakit kita perlu mendapatkan produk yang sesuai berdasarkan nasihat pakar dari klinik kanabis yang berdaftar.
Pada hari kedua kami di bawa ke kilang pengekstrakan minyak CBD di Science Park, Bangkok di mana di kilang ini kami melihat pelbagai jenis mesin yang diimport dari US bernilai USD 1.5 juta. Terdapat 5 jenis mesin yang berlainan fungsi. Bunga kanabis jenis hemp diproses di kilang ini untuk mengeluarkan 99% minyak CBD tulen yang penting dan amat diperlukan utk pesakit seperti kanser, pesakit knonik, sawan, anxiety dan lain-lain. Mesin kelima dapat menghasilkan produk yg berasaskan kanabis untuk industri kosmetik. Melalui mesin ini, bunga kanabis diproses sehingga menjadi serbuk untuk bahan kosmetik. Disini dapatlah kusimpulkan mengapa minyak CBD tulen tersebut mahal, dan minyak CBD yang dijual di pasaran gelap di Malaysia berkemungkinan besar bukanlah minyak CBD yang tulen tetapi merupakan minyak kanabis yang mengandungi kandungan THC yang tinggi/ campuran CBD dan THC. Ini kerana minyak tersebut dibuat bukan dari pokok hemp tetapi dari pokok marijuana dan cara penghasilan minyak tersebut berbeza apabila dihasilkan di kilang berbanding dibuat sendiri di rumah. Oleh itu pentingnya kesedaran orang awam tentang perbezaan dua jenis minyak tersebut kerana kesan pengunaan kedua jenis minyak ini adalah berbeza. Walaupun kedua jenis minyak tersebut ada nilai perubatan namun, undang-undang dan pemantauan perlu bagi memastikan pesakit di Malaysia mendapat produk berasaskan kanabis yang bermutu tinggi, selamat, efisen, dan bermanfaat untuk kesihatan. Nasihat dari doktor dan pakar juga penting bagi pesakit kerana setiap penyakit memerlukan dos yang berbeza dan setiap badan pesakit juga mempunyai tahap toleran yang berbeza terhadap kanabis. Kajian lepas mendedahkan kebanyakan minyak CBD yang dijual diatas talian mengandungi bahan berbahaya dan tercemar seperti racun perosak, baja kimia, atau logam berat (Dryburgh et al., 2018; Evans DG, 2020; Montoya et al., 2020), mikroorganisma berbahaya, termasuk salmonella, E. coli, dan pelarut berbahaya (Seltenrich, 2019; John et al. , 2017). Malah sebahagian penjual tidak bertanggungjawab dengan meletakkan label CBD namun setelah diperiksa kandungan produk tersebut gagal ujian ketulenan dan tidak mempunyai kandungan CBD (Hazekamp & Epifanova, 2017). Oleh itu, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan bijak kerana ditakuti mendapat lebih mudarat dari manfaat kerana memilih produk yang salah.
Selepas itu kami ke Kementerian Kesihatan Awam untuk mendengar taklimat berkaitan legalisasi, peraturan, polisi dan kerangka undang-undang dan akses rawatan menggunakan kanabis di klinik kerajaan dan swasta oleh Dr. Song, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Awam. Dr. Song sangat professional dan menjawab pebagai soalan walaupun berunsur provokasi dengan tenang. Pesakit di Thailand boleh mendapat akses kepada rawatan kanabis melalui hospital atau di klinik kanabis. Kanabis juga diktiraf sebagai herba di Thailand yand bermanfaat untuk kesihatan. Menariknya mereka juga membenarkan akses rawatan perubatan berasaskan kanabis ini kepada pelancong dari negara luar. Pesakit boleh menghubungi ‘Medical Cannabis Clinic’ untuk temujanji dan hadir ke klinik bagi mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan.
Selepas itu kami melawat ‘Medical Cannabis Institute’ dan ‘Medical Cannabis Clinic’. Di Medical Cannabis Clinic kami berpeluang melihat pelbagai produk dan ubatan berasaskan kanabis seperti minyak CBD untuk pesakit dan produk lain berasaskan kanabis seperti terpenes, ubat gigi, kosmetik, dan lain-lain. Selain produk berasaskan kanabis, di sini juga ada produk berasaskan ketum seperti teh ketum untuk tenaga. Pada waktu malam pihak penganjur mengadakan program penutup serta makan malam dan kami mendapat cenderahati sebagai tanda kenangan. Keesokan harinya kami pulang semula ke Malaysia.
Tahniah dan syabas pada pihak MHIRA menganjurkan program dan lawatan pendidikan tentang kanabis hemp ini dan banyak membantuku mendapatkan responden untuk ditemubual berkaitan pengajianku ini. Terima kasih juga pada semua peserta yang banyak membantuku (Tuan Haji Shukor, Qaiyum, Dr. Rushdan, Dr. Janethy, Cikgu Laila, Dr. Kheng, Deeba, Apis, Irwan, Encik Johan, Dato Maryam, Annie, Daus, Chris, Terry dll). Program seperti ini sangat baik dan perlu diteruskan agar masyarakat Malaysia dapat membuang stigma terhadap kanabis dan seterusnya Malaysia dapat mengorak langkah ke hadapan seperti Thailand dalam penggunaan kanabis dalam perubatan terhadap pesakit yang memerlukan. Doakanku dapat tamatkan pengajian Ph.D ku dengan segera dan menghantar tesis dalam masa terdekat serta dimudahkan segala urusan.
Ekmil Krisnawati Binti Erlen Joni
Penyelidik dan pelajar PhD, Fakulti Undang-undang UKM (Human Rights Law). Penulis bekerja sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang di UiTM.