Pengalaman HSC Executive Tour 4.0

Saya telah menyertai lawatan HSC Executive Tour yang dianjurkan oleh Malaysia Hemptech Industrial Research Association (MHIRA) pada 20-22 November 2023 yang lalu di Bangkok, Thailand bagi melihat dengan lebih dekat penggunaan Cannabis, atau Marijuana atau Ganja (Thai: กัญชา; kancha) dalam rawatan perubatan di Thailand & aplikasi hemp dalam industri-industri berkaitan.

Apa beza ganja dan hemp? Hemp ini salah satu kelas pokok ganja. Dua bahan utama yang perlu kita lihat di dalam ganja & hemp adalah psychoactive tetrahydrocannabinol (THC) dan non-psychoactive cannabidiol (CBD). Bahan psychoactive ni ialah bahan yang apabila kita consume atau masuk dalam badan, ia boleh menjejaskan mental, kesedaran, mood dan emosi kita. Alkohol dan nikotin antara lain bahan yang psychoactive (Rujukan – https://www.who.int/health-topics/drugs-psychoactive#tab=tab_1). Ganja mempunyai kepekatan THC yang tinggi manakala hemp pula kepekatan THCnya adalah rendah. Jadi hemp adalah lebih selamat penggunaannya berbanding ganja. CBD pula tinggi kepekatannya namun ianya adalah non-psychoactive, jadi banyak produk-produk yang menggunakan CBD kerana lebih selamat.

Kita juga sedang melihat dan mengkaji sekiranya terdapat keperluan untuk meminda akta-akta sedia ada di Malaysia ini berhubung penggunaan ketum, ganja dan hemp yang pada masa kini melanggar undang-undang negara kita. Antaranya Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] & Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Akta Racun 1952 [Akta 366] di mana custodiannya adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kita nak tanam pokok ganja pun tak boleh, walaupun pokok ganja adalah pokok yang semulajadi tumbuh di Malaysia. Even pokok getah dan kelapa sawit pun bukan berasal dan tumbuh di Malaysia, namun pokok ganja adalah ‘indigenous plant’ di Malaysia. Ketum pula menjadi masalah utama remaja-remaja di Malaysia, terutama di Kelantan dan Kedah.

Kenapa melawat Thailand? Sebab Thailand negara Asia dan negara ASEAN pertama yang menghalalkan (legalise) penggunaan ganja untuk tujuan perubatan pada 2019 (The Narcotics Act (No. 7) B.E. 2562). Penggunaan produk-produk seperti minyak, losyen dan lain-lain yang mengandungi lebih dari 0.2% THC memerlukan preskripsi daripada doktor. Namun bagi tujuan rekreasi ianya masih lagi melanggar undang-undang. Pada 2021 Ministry of Public Health (MoPH) Thailand membenarkan semua bahan daripada Cannabis iaitu akar, daun, batang pokok dan biji benih (bunga masih diharamkan) untuk tujuan lain-lain. Dan sekali lagi pada 2022 aktiviti ekstrak ganja daripada pokok Cannabis yang mengandungi kurang daripada 0.2% THC (dirujuk sebagai Industri Hemp) telah di dekriminalisasikan. Jadi banyak lah orang yang menanam pokok-pokok ganja, dengan kerajaan memberikan satu juta anak pokok ganja kepada rakyat untuk mereka menanam tanaman ganja di rumah.

Adakah Thailand ada problem apabila dah legalise ganja? Jawapannya ya sebab mereka meluluskan kedua-dua bahan THC dan CBD ini di pasaran. Walaupun Kerajaan Thailand membenarkan pengeluaran dan penggunaan ganja hanya untuk tujuan perubatan dan bukan untuk tujuan rekreasi, namun amalan penggunaaan masih kabur dan mereka berhadapan dengan masalah penguatkuasaan. Kedai-kedai di jalan-jalan Thailand penuh dengan penjualan ganja ini. Malah Thailand sedang membuat satu akta baharu untuk kawalan ke atas penggunaan dan pengedaran ganja ini. Bahkan mungkin reverse balik dekriminalisasi ganja ini.

Kami telah melawat ke tempat tanaman pokok ganja dan hemp bagi tujuan komersial. Its a proper projek swasta. Sebab apa? Owner tempat tersebut boleh convert daripada garaj kereta kepada proper green house untuk tanaman pokok ganja dan hemp mereka. Mereka boleh harvest hasil mereka sebanyak 7 kali setahun. Lagi banyak lagi output daripada penghasilan tanaman padi kita haha. Anggaran income mereka juga lebih kurang RM100k / 1kg untuk retail dan borong dalam RM10K / kg. Selain itu, kami juga berjumpa dengan profesor di Chulalongkorn Universiti dan berbincang mengenai kajian dan penyelidikan yang dijalankan ke atas produk-produk yang mengandungi ganja di Thailand. Kajian lebih mudah untuk dilaksanakan selepas proses dekriminalisasi dikuat kuasakan oleh Kerajaan Thailand. Kami juga dibawa melawat ke Department of Thai Traditional and Alternative Medicine (DTAM), salah satu department di bawah MoPH Thailand. Di sini mereka mempunyai klinik yang memberi ubat dan minyak yang mengandungi ganja kepada rakyat mereka, dalam dos yang dibenarkan. Mereka juga cuba menghasilkan ubat herbal / rawatan tradisional menggunakan Cannabis dengan 16 formula yang berkesan. Formula-formula ini bergantung kepada jenis penyakit yang ingin diubati seperti insomnia, muscle weakness, migraine, parkinson dan mengurangkan chronic pain untuk pesakit kanser. Rawatan alternatif untuk pesakit kanser ini digunakan keatas sebanyak 1,157 orang pesakit kanser dan keputusannya agak memberansangkan dalam mengurangkan keletihan, kesakitan, hilang selera makan, tekanan perasan pesakit. Malah ada yang sembuh sepenuhnya daripada penyakit yang membawa maut ini. Ramai je rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand untuk berubat since kita ada 30 hari free visa polisi untuk ke Thailand.

Dan yang terakhir kami ke Asia International Hemp Exco, yang menghimpunkan kesemua player-player dan supply chain industri ini baik dari Eropah, Asia Pasifik, Asia dan Amerika Latin. Dan expo ini yang membuka mata kita bahawa industri Hemp ini mempunyai banyak potensi untuk dikembangkan. Banyak produk-produk yang boleh dihasilkan daripada Hemp seperti baju fesyen, bata untuk pembinaan, produk-produk kesihatan, perabot dan banyak lagi. Jadi organisasi seperti MHIRA cuba untuk memperkenalkan industri Hemp ini untuk penggunaan non narcotic yang memfokuskan kepada penggunaan natural fibers dan kesihatan.

Untuk Malaysia? Masih jauh lagi perjalanan untuk legalise benda-benda ini. Banyak perkara yang boleh kita belajar daripada Thailand dan terpulang kepada political will untuk melaksanakan dasar-dasar baharu ini. Yang pasti, saya tak boleh tahan bau Cannabis ni haha baik di Amsterdam mahupun Thailand.

oleh Rafiqin Iman